SIBURAN, 14 Jun: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menyeru penjawat awam agar sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan menolak diskriminasi kaum khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Sarawak.
Willie memuji komitmen Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Nasran yang bukan berbangsa Dayak tetapi menyantuni masyarakat Dayak menerusi sambutan Program Penutupan Gawai.
“Walaupun berlainan bangsa dan agama, beliau tetap meraikan Gawai bersama masyarakat Dayak. Semangat sebegini harus dipupuk dalam kalangan penjawat awam, agar tiada diskriminasi berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Penutupan Gawai Dayak 2025 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Sarawak pada Jumaat.
Willie turut menghargai penganjuran program berkenaan yang pertama kali diadakan di bawah Parlimen Puncak Borneo dan menyifatkannya sebagai lambang perpaduan serta keharmonian antara anggota bomba berbilang kaum.
“Inisiatif ini bukan sahaja meraikan budaya malah memperkukuh silaturahim dan semangat kebersamaan dalam pasukan,” ujarnya.-TVS