Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anthony Loke berkata keadaan fizikal brek bas, kesemua pelapik brek dan dram brek bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan yang memuaskan dalam satu kenyataan hari ini. Foto fail Bernama

Nahas di Gerik: Tiada bukti kegagalan mekanikal bas – Loke

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Laporan awal siasatan terhadap kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak pada 9 Jun lepas mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal pada bas berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dapatan awal Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menunjukkan bahawa keadaan fizikal brek bas, kesemua pelapik brek dan dram brek bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan yang memuaskan.

“Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada dram brek mahupun kenipisan pada pelapik brek. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Loke berkata pemeriksaan fizikal tayar juga mendapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata komponen bahagian steering dan suspensi juga secara keseuluruhannya dalam keadaan memuaskan.

Oleh yang demikian, Loke berkata kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti manusia dan keadaan jalan.

Beliau berkata langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami. Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan, akan terus diperketat secara berterusan.

Loke turut merakamkan ucapan takziah daripada MOT kepada semua keluarga mangsa, selain menyatakan komitmen untuk memastikan keadilan ditegakkan dan tragedi seperti itu tidak berulang.

Dalam kejadian tersebut, 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan