KUCHING, 14 Jun: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian Pegawai Perubatan Hospital Bintulu, Allahyarham Dr. Ahmad Rafizee Mohd Saian yang maut dalam kemalangan jalan raya berhampiran Jambatan Suai, Bintulu, pada Jumaat.
Dalam kenyataan media, KKM menyifatkan kehilangan Allahyarham sebagai satu kehilangan besar khususnya kepada warga kesihatan di Sarawak, memandangkan beliau merupakan pegawai muda yang komited dan berdedikasi tinggi, terutamanya dalam memberikan perkhidmatan di kawasan pedalaman.
“Allahyarham dikenali sebagai seorang pegawai perubatan yang berdedikasi, berdisiplin dan amat komited dalam menjalankan tugas, walaupun berdepan cabaran di kawasan pedalaman.
“Pihak hospital dan wakil kementerian akan terus berhubung dengan keluarga Allahyarham bagi membantu dalam pengurusan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Allahyarham yang berasal dari Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor mula bertugas di Hospital Bintulu pada 31 Julai 2023.
Difahamkan, pada pagi kejadian 13 Jun, beliau baru sahaja selesai tugasan sebagai pegawai perubatan ‘on-call’ pertama dan menyerahkan tugas kepada rakan setugas sebelum bertolak ke Miri untuk bercuti.
Allahyarham dijadual menaiki penerbangan ke Taman Negara Mulu pada jam 10.50 pagi namun terlepas penerbangan tersebut dan memutuskan untuk pulang semula ke Bintulu.
Pada sekitar jam 4.00 petang, Hospital Bintulu menerima makluman mengenai satu kemalangan maut berhampiran Jambatan Suai dan mangsa kemudiannya disahkan sebagai Dr. Ahmad Rafizee oleh pihak polis.
KKM turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan dan khidmat bakti Allahyarham sepanjang perkhidmatannya bersama kementerian.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh seluruh warga kerja KKM,” menurut kenyataan itu.-TVS