TANJUNG MANIS, 14 Jun: Kerajaan Sarawak kini giat merancang dan memohon peruntukan bagi memastikan tiga kawasan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang iaitu Stalun, Bukit Kinyau dan Muara Paya mendapat akses jalan raya lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, pembinaan jalan tersebut amat penting bagi mengubah kehidupan penduduk yang sebelum ini bergantung kepada pengangkutan air.
“Penduduk Stalun masih berdepan kesukaran kerana tiada jalan darat. Apabila jalan ini siap, ia bukan sahaja memudahkan kehidupan masyarakat tetapi membolehkan orang luar termasuk Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab datang menggunakan kenderaan darat tanpa perlu menaiki bot laju,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengerami Ngiling Bidai di Dewan Masyarakat Stalun, hari ini.
Menurutnya, penyediaan infrastruktur seperti jalan dan jambatan adalah kunci utama kepada pembangunan kawasan luar bandar sejajar dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab memaklumkan lebih RM800 juta diluluskan bagi pembinaan jalan akses ke Stalun dengan RM267 juta datang daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan lebih RM500 juta daripada Kerajaan Sarawak.
“Projek ini akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030. Saya akan pastikan keperluan jalan dan jambatan dari Stalun ke Paloh disebut dalam perbahasan Parlimen nanti,” ujarnya.
Untuk rekod, Kampung Stalun kini hanya boleh diakses melalui bot dalam perjalanan sekitar 30 minit dari Jeti Tanjung Manis.
Pada majlis sama, Yusuf turut memaklumkan beliau akan melakukan lawatan kerja pada 24 Jun ini bagi meninjau keadaan jeti-jeti sekitar yang dikenal pasti perlu dinaik taraf demi keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.-TVS