KUCHING, 14 Jun: Pengijazahan bukan sekadar simbol kejayaan akademik tetapi juga permulaan kepada masa depan yang sarat dengan peluang dan inovasi.
Dekan Fakulti Perniagaan, Reka Bentuk dan Seni, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Profesor Dr. Brian Wong Kee Mun berkata, pelajar kini diberi peluang berkolaborasi secara langsung dengan syarikat-syarikat terkenal industri sekali gus memperoleh pengalaman dunia sebenar yang tidak ternilai.
“GradX 2025 bukan sekadar pameran. Ia adalah pelantar pelancaran untuk graduan memperkenalkan karya mereka kepada dunia luar sekali gus menjadi jambatan antara akademik dan industri.
“Mereka bukan sahaja tampil sebagai pereka bentuk tetapi juga sebagai penyelesai masalah, penghubung industri dan ejen perubahan kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan GradX 2025, sebuah pameran tahunan hasil karya pelajar reka bentuk dan seni Swinburne Sarawak yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun di sini hari ini.
Menurutnya, kolaborasi industri yang dijalankan bukan semata-mata projek kelas tetapi menuntut pelajar menyelesaikan masalah sebenar pelanggan, memahami komunikasi visual dan strategi reka bentuk secara profesional.
Pada majlis sama, Swinburne turut memperkenalkan laluan global untuk Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Seni Bina Dalaman) (Kepujian) yang menawarkan laluan 2+2 iaitu dua tahun pengajian di Kuching, Sarawak dan dua tahun di Melbourne, Australia.
“Laluan global ini membuka peluang kepada pelajar dari Sarawak untuk menimba pengalaman dalam komuniti reka bentuk global serta memperoleh ijazah berprestij bertaraf antarabangsa,” ujar Brian.
GradX 2025 disifatkan sebagai ruang terbaik untuk masyarakat menyaksikan sendiri hasil inovasi dan kreativiti generasi baharu yang berpotensi mengubah landskap industri reka bentuk dan seni tempatan. -TVS