KUCHING, 14 Jun: Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman kini secara rasmi menerajui Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) selepas diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FAS sesi 2025–2027.
Kemenangan beliau sekali gus menamatkan spekulasi berhubung siapa yang akan mengisi jawatan Presiden FAS selepas pencabarnya, Dr. Mohd Syafiq Abdullah menarik diri daripada pencalonan pada saat akhir.
Selain Fazzrudin, pemilihan kali ini turut menyaksikan kemasukan tiga muka baharu ke dalam barisan kepimpinan baharu FAS bagi penggal dua tahun akan datang.
Dalam sidang media selepas AGM yang berlangsung di Hotel Merdeka Palace Kuching, Fazzrudin yang juga Pengerusi Kuching City FC berkata, pengalaman beliau dalam pengurusan bola sepak bersama Kuching City FC akan dimanfaatkan untuk membentuk pasukan berkaliber serta memperkukuh pembangunan bola sepak negeri.
“Kami merancang untuk memperkenalkan Liga Bola Sepak Premier Sarawak bermula September ini yang akan dilaksanakan secara konsep home and away. Ini akan membolehkan peminat di setiap bahagian menyaksikan perlawanan secara langsung di tempat mereka,” katanya.
Beliau berkata, komitmen untuk membangunkan sukan itu dari peringkat akar umbi dan menjadikannya platform mencungkil bakat baharu di seluruh Sarawak.
Kerusi timbalan presiden pula disandang oleh Datuk Hamzah Brahim yang turut menang tanpa bertanding selepas Abang Suhordie Abang Zaini menarik diri.
Lima jawatan naib presiden diisi oleh penyandang sedia ada Nicol Agoi, Khairuldin Qalam Daud dan Khairul Anuar Adeni serta dua muka baharu iaitu Sophie Shariee dan MD Haical Abdullah.
Jawatan Presiden FAS sebelum ini disandang oleh Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman yang turut menang tanpa bertanding bagi penggal 2023–2025 namun memilih untuk tidak mempertahankan jawatan itu kali ini.
Sebanyak 10 calon bertanding untuk tujuh jawatan utama dalam pemilihan kali ini, menjadikannya antara AGM paling signifikan dalam sejarah terkini FAS.-TVS