Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ronnie Teo (kanan) dan Phyllis Wong merupakan wakil Sarawak yang dilantik ke Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia. Foto Borneo Post

Dua wakil Sarawak dilantik anggota Lembaga Pengasas MMC

ByMuqri Aziz

KUCHING, 14 Jun: Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei dan Pengurus Besar Borneo Post serta Utusan Borneo, Phyllis Wong Yang Yong dilantik secara rasmi sebagai anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMC).

Pelantikan kedua-dua wakil dari Sarawak itu menyaksikan mereka tersenarai bersama 12 individu lain dari seluruh negara, yang terdiri daripada wakil media, pertubuhan profesional dan tokoh bukan pengamal media.

Ketika dihubungi, Ronnie menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan besar untuk mewakili Sarawak dalam usaha memperkukuh landskap media negara.

“Saya berharap MMC akan mengambil pendekatan yang inklusif dalam membangunkan industri media negara agar Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dalam arus perubahan,” katanya.

Menurutnya, MMC perlu menjadi sistem sokongan utama kepada agensi dan pengamal media, terutamanya di Sarawak, dalam menghadapi cabaran teknologi dan memastikan kebajikan pengamal serta amalan buruh yang adil terus terjaga.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pelantikan Lembaga Pengasas MMC merupakan langkah penting ke arah penubuhan badan kawal selia kendiri bagi industri media negara.

“Selepas lebih 50 tahun, akhirnya kita berjaya meluluskan undang-undang ini di Parlimen,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Kuala Lumpur hari ini.

Antara individu lain yang turut dilantik ke dalam lembaga itu ialah Premesh Chandran (Pengasas Bersama Malaysiakini / Pengerusi Jawatankuasa Penaja MMC), Teh Athira Yusof (Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Ashwad Ismail (Ketua Editor Astro Awani), Radzi Razak (Presiden Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Gayathri S. Venkiteswaran (Ahli akademik), Datuk Sardahthisa James (Ketua Editor Daily Express), Muthameez Manan (Presiden Pertubuhan Media Tamil Malaysia), Mohd Azmyl Md Yusof, Celine Lim dan Terence Ooi.

Untuk rekod, Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu.

Di bawah akta ini, MMC diberi mandat untuk menetapkan piawaian etika kewartawanan, menggubal kod tatakelakuan media serta berperanan sebagai badan penyelesaian pertikaian berkaitan kandungan media.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan