KUCHING, 14 Jun: Sarawak terus mencipta kejayaan dalam sukan petanque apabila dua beradik, Nur Durratul Iffah Yazit dan Nur Durratul Sahira Yazit terpilih menyertai Pasukan Petanque Kebangsaan 2025.
Pemilihan mereka diumumkan selepas Panel Pemilih Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF) melengkapkan proses penilaian ke atas atlet terbaik dari seluruh negara.
Kedua-dua pemain akan menyertai latihan pusat fasa pertama bermula 15 hingga 22 Jun 2025 di Arena Petanque, Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
Secara keseluruhan, seramai 30 atlet dari pelbagai negeri telah dipilih untuk menyertai latihan pusat ini, dan berpotensi mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, lapan atlet petanque dari Sarawak melepasi saringan awal pada Mac lalu namun hanya Nur Durratul Iffah dan Nur Durratul Sahira yang berjaya menempah tempat dalam skuad akhir kebangsaan.-TVS