KUCHING, 14 Jun: Pengumuman pelaksanaan cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas buah-buahan import bermula 1 Julai ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peniaga di Kuching khususnya yang terlibat dalam penjualan buah-buahan import.
Kebanyakan peniaga meluahkan kebimbangan terhadap kesukaran menjual produk yang kini sudah pun terkesan akibat permintaan yang lemah dan kos operasi tinggi.
Pengusaha T.S Chop, Chin Chey Min, 50, berkata, keadaan ekonomi yang mencabar sedia ada sudah menekan perniagaannya, apatah lagi dengan penambahan cukai.
“Cukai telah meningkat dan keadaan sekarang memang mencabar. Nak jual barang pun sudah sukar kerana ekonomi tidak menentu,” katanya kepada TVS semalam.
Beliau memaklumkan, kebanyakan bekalan buah diperoleh dari luar negara seperti New Zealand, Australia dan China menyebabkan kos import menjadi faktor utama kenaikan harga jualan.
Senada dengannya, peniaga kecil Cynthia Amoi, 67, turut menyuarakan kebimbangan kerana beliau hanya bertindak sebagai orang tengah yang membeli dari pemborong.
“Saya bukan pengeluar, hanya menjual semula buah yang dibeli dari pemborong. Kadang-kadang pelanggan kata harga mahal tapi sebenarnya kami pun beli dengan harga tinggi. Jadi, memang terpaksa jual dengan harga yang setimpal,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha Wonderful Fresh, Liew Sze Min, 62, mengakui sudah menjangkakan pelaksanaan cukai itu namun mengakui tetap akan memberi kesan kepada pembeli.
“Memang ada pelanggan yang memberi komen apabila harga naik sedikit, tapi saya rasa mereka pun dah biasa sebab harga buah-buahan memang dah meningkat sejak lebih setahun lalu,” jelasnya.
Mengulas isu itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, cukai jualan tersebut perlu dilihat sebagai strategi dua hala kerajaan dalam menambah hasil negara sambil menggalakkan pengeluaran tempatan.
“Cukai ini boleh mengurangkan kebergantungan terhadap buah import dan merangsang permintaan terhadap buah-buahan tempatan, sekali gus memberi peluang kepada pekebun kecil tempatan meningkatkan hasil mereka,” kata Afzanizam.
Tambahnya, walaupun cukai tersebutmemberi kesan kepada peniaga dari sudut kos dan margin keuntungan, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti subsidi bersasar dan geran mikro untuk mengurangkan beban mereka.
“Peniaga kecil dan sederhana harus melihat kepada keseluruhan ekosistem bantuan kerajaan yang tersedia termasuk insentif dan pembiayaan mikro bagi mengurangkan kos operasi,” tambahnya.
Pada 9 Jun, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) bermula 1 Julai 2025, sebagai langkah menambah hasil negara dan memperkukuh sistem jaringan keselamatan sosial tanpa memberi beban besar kepada rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada reformasi fiskal untuk memastikan kelestarian kewangan negara jangka panjang. – TVS