TANJUNG MALIM, 14 Jun: Ketidaksepadanan bidang pengkhususan guru dengan keperluan semasa merupakan antara cabaran utama dalam sistem pendidikan di Sarawak, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Menurutnya, kekurangan guru dalam beberapa subjek penting menyebabkan pihak kementerian terpaksa melantik guru yang hanya mempunyai pengetahuan asas dalam bidang berkenaan.
“Sebagai contoh, kita kekurangan guru Bahasa Iban di sekolah-sekolah. Justeru, kita terpaksa melantik guru yang boleh berbahasa Iban walaupun mereka bukan dalam pengkhususan bahasa tersebut,” katanya semasa Dialog Inspirasi Pendidikan Sarawak anjuran Persatuan Jalinan Anak Sarawak Universiti Pendidikan Sultan Idris, hari ini.
Menurutnya, antara subjek yang paling ketara mengalami kekurangan guru ialah Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains terutama di kawasan luar bandar.
Dr Annuar menegaskan bahawa isu tersebut turut berpunca daripada keengganan sebahagian guru untuk berkhidmat di kawasan pedalaman.
“Sebab itu, saya menyeru agar bakal-bakal guru dari Sarawak kembali berbakti di negeri sendiri, khususnya di kawasan yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau berkata, khidmat guru amat diperlukan bagi membantu memperbaiki dan memperkasa sistem pendidikan di Sarawak, terutama di kawasan yang kurang mendapat perhatian. – TVS