KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bahasa ibunda merupakan akar kepada perpaduan nasional dan identiti bangsa yang wajib dipelihara oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sambutan Hari Bahasa Ibunda bukan sekadar acara simbolik tetapi sebuah gerakan jiwa untuk menghargai kepelbagaian bahasa dan menyemai semangat perpaduan.
“Bahasa bukan hanya alat komunikasi, tetapi warisan budaya dan jati diri sesebuah masyarakat. Tanpa bahasa, hilanglah identiti. Tanpa identiti, goyahlah tamadun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Karnival dan Penyampaian Hadiah Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) di sini hari ini.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 152 meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas perpaduan nasional namun tetap menjamin hak semua kaum untuk memelihara dan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
“Bahasa Melayu ialah tunjang penyatuan nasional, namun bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan Dusun dan Semai turut memperkaya identiti kita sebagai sebuah negara majmuk,” ujarnya,
Aaron juga menyokong usaha kerajaan memperkasakan bahasa ibunda melalui pelbagai inisiatif antara kementerian, termasuk penekanan kepada pendidikan, komunikasi dan penglibatan akar umbi.
Beliau turut menyeru belia agar tampil sebagai ejen penghidup bahasa ibunda bukan sekadar pewaris pasif tetapi penggerak aktif dalam memartabatkan bahasa dalam kehidupan seharian.
“Jangan malu bertutur dalam bahasa ibunda. Bahasa adalah warisan, identiti dan jiwa bangsa. Bangkitlah dan hidupkan kembali roh bahasa dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Sehubungan itu, Aaron mengajak rakyat Malaysia menjadikan bahasa sebagai jambatan yang menyatukan bukan tembok yang memisahkan.
“Jika akar pohon adalah bahasa, maka batangnya budaya, dahannya identiti dan buahnya perpaduan. Maka jagalah akar ini agar pohon Malaysia terus subur dan berbuah demi generasi akan datang,” kata Aaron.
Karnival berkenaan turut menyaksikan pelbagai acara kebudayaan dan pertandingan diadakan bersempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025.-TVS