KUCHING, 14 Jun: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) disifatkan sebagai rakan kongsi setia dan enjin penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak sejak era ekonomi berasaskan kayu balak sehinggalah ke arah masa depan berteraskan tenaga hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ACCCIS memainkan peranan luar biasa dalam menyokong dasar kerajaan negeri sejak penubuhannya pada tahun 1965.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1965, ACCCIS telah menjadi rakan yang amat berharga kepada kerajaan. Sumbangan anda memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak.
“Terima kasih, ACCCIS atas komitmen yang tidak berbelah bahagi sepanjang dekad-dekad lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-60 ACCCIS di sini, malam ini.
Abang Johari turut berkongsi usaha kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan ACCCIS berjaya menarik pelabur dari Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah untuk membuka kilang di Sarawak.
“Itulah sebabnya ACCCIS boleh bekerjasama dengan para pelabur dan kami akan memudahcara inisiatif anda untuk menghasilkan produk di Sarawak.
“Malah, pintu peluang kini sedang diketuk. Saya berharap ACCCIS bersedia apabila peluang itu tiba, saya akan panggil anda untuk berbincang dengan mereka,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, Sarawak kini muncul sebagai peneraju dalam penjanaan tenaga mampan melalui sumber hidro, solar dan hidrogen.
“Kita menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 dengan 60 hingga 70 peratus daripadanya dijana melalui sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Buat masa ini, keperluan kita hanya sekitar lima hingga enam gigawatt. Lebihan tenaga ini akan dieksport ke negara jiran tentunya dengan bayaran sekali gus menjadi sumber pendapatan baharu kepada negeri,” jelasnya.
Walaupun tumpuan utama kekal kepada tenaga hijau, Abang Johari berkata, Sarawak tetap memerlukan sumber tenaga pelengkap seperti solar dan turbin gas yang kini dirancang menggunakan gabungan gas dan hidrogen sebagai strategi jangka panjang.-TVS