GEDONG, 14 Jun: Sebanyak 100,000 ekor anak udang galah dilepaskan ke perairan Sungai Kerang, Melikin hari ini dalam usaha meningkatkan sumber pendapatan komuniti nelayan luar bandar di kawasan ini.
Majlis pelepasan benih udang itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan merupakan penganjuran kali kedua selepas program pertama pada Oktober 2024.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Parlimen Batang Sadong, Sungai Kerang yang mengalir dari kawasan Gedong hingga ke Balai Ringin merupakan lokasi strategik bagi pembiakan udang galah dan pelbagai spesies ikan air tawar yang telah lama menjadi sumber rezeki utama penduduk setempat.
“Udang dan ikan air tawar merupakan sumber kehidupan utama masyarakat Gedong sejak turun-temurun, selain kerja-kerja berkaitan pembalakan dan belian. Namun dengan berkurangnya aktiviti pembalakan dan pertambahan ladang kelapa sawit, tumpuan kini kembali kepada sumber perikanan sungai,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut memetik kisah kejayaan seorang guru tempatan yang berjaya meraih pendapatan sehingga RM10,000 dalam seminggu hasil jualan 80 kilogram udang galah sebagai kerja sambilan – jumlah yang disifatkan sebagai rekod tertinggi dalam sejarah Gedong.
Program anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Batang Sadong ini turut disertai lebih 50 penduduk kampung dan 10 buah bot nelayan, mencerminkan sokongan padu komuniti terhadap usaha pemuliharaan sumber perikanan tempatan.
Rodiyah dalam kenyataannya berkata, benih udang galah yang dilepaskan hari ini dijangka matang dalam tempoh enam hingga lapan bulan, sekali gus meningkatkan hasil tangkapan dan ekonomi masyarakat di kawasan sekitar seperti Marakai, Lebor dan Remun.
Pejabat Parlimen Batang Sadong turut menyatakan harapan agar Jabatan Pertanian dapat memperluaskan inisiatif ini dengan membekalkan benih ikan air tawar lain seperti ikan Sultan, baung, tapah dan labang bagi memperkayakan biodiversiti serta kepelbagaian sumber perikanan tempatan. – TVS