PUTATAN, 13 Jun: Dua buah rumah tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Dumpil malam tadi, mengakibatkan seorang warga emas cedera di bahagian tapak kaki.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.29 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.
Kebakaran melibatkan dua rumah bersaiz 20×10 kaki dan 40×50 kaki yang musnah seratus peratus.
Difahamkan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.52 malam, manakala operasi pemadaman ditamatkan pada jam 12.37 pagi.
“Mangsa berumur 66 tahun mengalami kecederaan melecur di tapak kaki dan telah diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulans,” kata kenyataan itu.
Operasi disertai oleh 21 anggota bomba dari BBP Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang dengan kekuatan tiga jentera – CFRT, FRT dan LFRT. Turut membantu adalah pasukan polis, ambulans dan Sabah Electricity. -TVS