KUCHING, 13 Jun: Inovasi dalam bidang sains perubatan harus dijalankan dengan penuh tanggungjawab, terutamanya dengan kemajuan pesat teknologi dalam dunia perubatan moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pada masa kini sudah terdapat contoh kejayaan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pesakit dengan kecacatan fizikal.
“Dalam sebuah buku yang saya baca karya Dr. Jordan Nguyen yang merupakan seorang penyelidik biomedik dan secara ringkas, beliau menghadapi masalah pesakit dengan kecacatan fizikal.
“Apa yang beliau lakukan adalah menginovasikan mesin yang menghubungkan minda mesin melalui kecerdasan kepada pesakit. Hubungan antara otak buatan dan otak manusia kelihatan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Saintifik Tahunan ke-51 Kolej Pakar Bedah yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini dengan tema ‘Bridging Tradition and Innovation’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata pesakit dengan kecacatan fizikal melalui sambungan AI antara otak manusia dan otak buatan membolehkan pesakit ini memperoleh tingkah laku moden.
Sementara itu, Abang Johari turut mengingatkan keseimbangan antara teknologi dan tanggungjawab perlu dijaga untuk memastikan akses kepada inovasi perubatan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.
“Satu lagi senario adalah ia boleh menjadi model perniagaan bagi mereka yang berorientasikan keuntungan. Satu untuk kemanusiaan yang satu lagi menjadi entiti perniagaan yang berfokus kepada keuntungan.
“Jika ia menjadi entiti komersial, persoalannya adalah di manakah keseimbangannya? Bagi mereka yang mampu, mereka mempunyai akses ini. Bagi mereka yang tidak mampu membayar kos, ia mungkin di luar jangkauan mereka,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada pakar perubatan, penyelidik dan pemimpin kerajaan untuk bekerjasama dalam mencari penyelesaian yang memastikan teknologi perubatan dapat memberi manfaat kepada semua rakyat, tanpa mengira latar belakang kewangan. – TVS