KUCHING, 13 Jun: Pusat latihan Sibu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Angkat Berat Antara Pusat Latihan Sarawak edisi ke-8 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Sarawak Sports Village, di sini, dari 10 hingga 13 Jun 2025.
Kontinjen Sibu tampil dominan sepanjang kejohanan dengan meraih enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa, sekali gus mengungguli kedudukan keseluruhan serta menewaskan pencabar terdekat, Kanowit dan Subis.
Kanowit pula berjaya menamatkan kempen di tangga kedua dengan kutipan empat emas, tujuh perak dan empat gangsa, manakala Subis pula meraih tempat ketiga hasil pungutan empat emas, tiga perak dan dua gangsa.
Turut memberi saingan sengit ialah Miri, yang juga membawa pulang empat emas, namun terpaksa akur di kedudukan keempat berdasarkan jumlah keseluruhan pingat yang lebih rendah.
Sementara itu, Sarikei mengutip dua pingat emas, diikuti Kuching dengan dua perak dan tiga gangsa, manakala Limbang di tempat ketujuh dengan satu emas, satu perak dan satu gangsa.
Dalam satu kenyataan, Persatuan Angkat Berat Negeri Sarawak (PABNS) menegaskan bahawa sukan angkat berat telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan negeri dan pembentukan peribadi atlet muda.
“Sukan angkat berat bukan sahaja menjadi medium untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah turut membentuk pengalaman hidup yang seimbang termasuk dari aspek sosial, kepimpinan serta disiplin diri,” kata kenyataan itu.
Tambah PABNS, pihaknya akan terus memberi tumpuan terhadap perkembangan sukan ini khususnya melibatkan pelajar dan golongan muda. – TVS