KUALA LUMPUR, 13 Jun: Malaysia berpendirian bahawa mana-mana negara berhak untuk hadir pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia menyokong penuh persidangan yang dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Perancis dan Arab Saudi itu.
“Mana-mana negara berhak hadir untuk mengemukakan pandangan mereka, terutama mengenai keadilan bagi rakyat Palestin dan Gaza. Itu pandangan kita.
“Jadi, saya menyokong inisiatif oleh Putera Mahkota Mohamed bin Salman dan juga Presiden Perancis, Emmanuel Macron,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Azzubair Ibnul Awwam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia akan menghantar wakil untuk hadir ke persidangan yang dijadual berlangsung di New York dari 17 hingga 20 Jun ini.
“Saya tidak hadir, tetapi wakil kita akan ke sana,” katanya.
Beberapa portal media antarabangsa semalam melaporkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan sedang melobi negara-negara asing supaya tidak menghadiri persidangan yang memberi fokus terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin. – TVS