KOTA KINABALU, 13 Jun: Detik cemas dilalui seorang pesara juruterbang apabila cedera ketika cuba menghalang kenderaan pacuan empat rodanya daripada dilarikan seorang lelaki, sedangkan ibunya yang berusia 88 tahun masih berada di dalam kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan pada Khamis berhubung kejadian yang berlaku sekitar jam 11.45 pagi dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang telah dilaporkan dicuri oleh pengadu. Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri dari lokasi kejadian melalui jalan kampung di Penampang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, mangsa, John Peter Otigil, 64, sedang memandu bersama ibu dan adik perempuannya ketika sebuah Proton Saga melanggar belakang kenderaan mereka. Suspek lelaki mendakwa tertidur dan meminta bantuan.
Mangsa dan adiknya keluar untuk memeriksa keadaan. Namun, ketika mangsa sedang mengambil gambar tempat kejadian, suspek melompat masuk ke dalam Toyota Hilux dan terus memecut, membawa bersama ibu mangsa yang masih berada di tempat duduk belakang.
John cuba menghalang suspek dengan berpaut pada pintu kenderaan, namun terjatuh lalu mengalami kecederaan di siku dan lutut. Beliau kemudian menahan sebuah kenderaan lain untuk mengejar suspek.
Menurutnya, ibu mangsa ditemui dalam keadaan selamat di tepi jalan, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. John kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Sementara itu, Proton Saga yang digunakan suspek turut ditemui ditinggalkan di kawasan semak berhampiran.
Dalam pada itu, Sammy menggesa orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut di media sosial.
“Kami minta orang ramai tidak memuat naik atau menyebarkan maklumat palsu di mana-mana platform kerana ia boleh mengganggu siasatan pihak polis dan menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.