SEREMBAN, 13 Jun: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan akan memasang perangkap bagi menangkap beruang matahari yang dikesan berkeliaran sekitar kampung Petaseh Hilir dan Petaseh Hulu, Jelebu dekat sini, semalam.
Pengarahnya Faizal Izham Pikri berkata ia susulan aduan penduduk kampung yang memaklumkan melihat haiwan liar itu merayau-rayau di sekitar kawasan berkenaan pada waktu pagi.
“Sebelum ini kita pernah pasang perangkap tetapi haiwan itu tak pernah masuk (perangkap). Insya-Allah pegawai kita di lapangan akan pasang semula perangkap di tempat aduan pada petang ini, kita percaya ia beruang yang sama sebelum ini dilaporkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan provokasi terhadap haiwan tersebut dan sebarang sisa makanan hendaklah dibuang di tempat sepatutnya untuk mengelakkan kehadiran hidupan liar.
Faizal Izham berkata penduduk juga diminta segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terdapat sebarang gangguan hidupan liar untuk tindakan selanjutnya.- TVS