Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Allan Siden Gramong menyerahkan sijil lantikan pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan KMKK DUN Machan di Kanowit, hari ini. Foto TVS

Penduduk Ngemah, Machan bakal nikmati kemudahan feri

KANOWIT, 13 Jun: Penduduk di kawasan Ngemah dan Machan bakal menikmati kemudahan pengangkutan yang lebih mudah dan efisien apabila projek pembinaan Pangkalan Feri Sedaya siap sepenuhnya kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, berkata kerja pelaksanaan projek berkenaan kini berada di fasa akhir sebelum menerima kelulusan teknikal sepenuhnya.

“Projek ini akan menghubungkan kawasan seberang antara Ngemah dan Machan, dan kini sedang melalui semakan serta kelulusan akhir dari segi teknikal sebelum dimulakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) bagi kawasan DUN Machan di Dewan Pejabat Daerah Kanowit, hari ini.

Menurutnya, meskipun tiada tarikh khusus dinyatakan, beliau berharap projek pembinaan itu dapat disiapkan tahun ini memandangkan keperluan mendesak penduduk setempat.

“Sebelum ini, penduduk terpaksa menempuh laluan jauh antara Ngemah dan Machan. Dengan adanya perkhidmatan feri, ia dapat memendekkan masa perjalanan selain mempercepatkan akses ke pasar Kanowit, hospital dan Pejabat Daerah,” jelasnya.

Tambah beliau, pembinaan pangkalan feri itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada cadangan pembangunan lain yang telah dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak.

Antaranya, pembinaan Pusat Perniagaan Bersepadu Kanowit, sebuah pusat sehenti yang bakal menempatkan beberapa agensi penting seperti JBALB, SEB dan Telekom Malaysia.

“Dengan adanya pusat ini, penduduk tidak perlu lagi ke bandar semata-mata untuk membayar bil atau mengurus urusan pentadbiran. Ia lebih menjimatkan masa dan memudahkan urusan harian,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pembinaan sebuah dewan masyarakat baharu di kawasan berkenaan memandangkan kemudahan sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Beliau yakin cadangan itu bukan sahaja bakal merancakkan pembangunan di sekitar jeti Kanowit, malah membantu mengurangkan kesesakan di pasar utama, khususnya pada waktu pagi.

Pada majlis berkenaan, seramai lima individu dilantik baharu manakala 13 lagi disambung perkhidmatan sebagai KMKK bagi DUN Machan, untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan