GERIK, 13 Jun: Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tragis yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik Isnin lalu, mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Majistret Gerik hari ini.
Tertuduh, mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu bas ekspres dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar UPSI sekitar jam 1.15 pagi pada 9 Jun lalu di KM 15, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.
Tertuduh turut didakwa menyebabkan kematian Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga akan hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan jika sabit kesalahan.
Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 bagi semua pertuduhan.
Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan, dilarang mendekati mangsa dan saksi, serta lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Julai depan, bersama serahan dokumen dan lantikan peguam. – TVS