SIMANGGANG, 13 Jun: Mahrajan Pendidikan Islam Sekolah-Sekolah (MPISS) Peringkat Negeri Sarawak anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi medan terbaik memperkukuh ukhuwah Islamiyyah serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar, guru dan warga sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata penganjuran MPISS bukan sahaja menyemai kefahaman menyeluruh terhadap nilai dan ajaran Islam seperti ibadah, akhlak sosial dan kepimpinan, malah turut mencungkil bakat pelajar dalam pelbagai bidang.
“MPISS mempunyai potensi besar untuk mencungkil bakat pelajar dalam Pendidikan Islam seperti Tilawah Al-Quran, Hafazan, Nasyid, Daie Cilik, Mimbar Daie, Khat, Kalam Arabiy dan Kalam Jamaie sebagai medium ekspresi ilmu dan iman secara kreatif dan berbudaya.
“Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi yang berilmu, berakhlak dan berbudaya Islamiyyah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian MPISS di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.
Sebanyak 18 sekolah dari seluruh Sarawak mengambil bahagian dalam edisi kali ini, melibatkan murid Tahun 1 hingga 6 bagi kategori sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga 5 bagi sekolah menengah.
Perkataan ‘Mahrajan’ berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud ‘festival’. Sebelum ini, program ini dikenali sebagai Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-Sekolah (MTQSS), Festival Nasyid dan Ihtifal Al-Quran. – TVS