KUCHING, 13 Jun: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menganjurkan Hari Alam Sekitar 2025 dengan pelbagai program menarik bertemakan “Trash to Hope”, bertempat di Dewan Masyarakat MBKS pada Sabtu.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, penganjuran program dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan alam sekitar dan memupuk gaya hidup lestari, khususnya dalam pengurusan sisa buangan.
“Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk Program Bank Sampah, Program Beli Balik MBKS, Kuching Natural Farmer Market, Food Aid Donation Drive, pembinaan Eco Bricks serta pertandingan Eco Glam Fashion Face-Off,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dijadual akan menyempurnakan perasmiannya.
Menurut Hong Seng, Pertubuhan Soka Gakkai Malaysia (SGM) Cawangan Sarawak turut menyokong penganjuran acara ini dengan mempromosikan Larian Keamanan serta membina sebuah arca keamanan setinggi 8×22 kaki menggunakan Eco Bricks.
Sementara itu, pertandingan Eco Glam Fashion Face-Off anjuran Majlis Kanak-Kanak MBKS dengan kerjasama Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak UNICEF bakal menampilkan murid tadika dan sekolah rendah memperagakan pakaian yang diperbuat daripada bahan kitar semula.
“Pertandingan ini bertujuan memupuk kreativiti dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Dua kategori dipertandingkan iaitu empat hingga enam tahun dan tujuh hingga 12 tahun.
Pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM300 dan sijil, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM200 dan RM100 berserta sijil.
Lima hadiah saguhati turut ditawarkan bernilai RM50 setiap satu.
“Kami berharap usaha ini dapat mengubah persepsi bahawa sisa buangan hanyalah sampah, sebaliknya ia boleh diolah menjadi sesuatu yang indah dan bermakna,”