TANJUNG MANIS, 13 Jun: Program konservasi di Taman Negara Hutan Paya Bakau Rajang (RMNP) membuktikan bahawa gabungan teknologi, komuniti dan infrastruktur mampu membawa kejayaan luar biasa dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, dua projek utama iaitu Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) dan Projek Rewilding Hutan Bakau, telah memberi impak yang signifikan terhadap ekosistem pesisir dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Kawasan ini bukan sahaja berfungsi sebagai benteng semula jadi terhadap hakisan dan perubahan iklim, malah berpotensi dibangunkan sebagai tapak penyelidikan biodiversiti dan rekreasi alam semula jadi yang memberi faedah ekonomi serta sosial kepada penduduk,” katanya ketika Majlis Penutupan Bengkel Honorary Wildlife Ranger dan Awareness di Dewan Kampung Rajang, hari ini.
Taman negara seluas 9,373 hektar itu telah diwartakan sejak 29 Mei 2000 dan menjadi habitat kepada ratusan spesies flora dan fauna, termasuk 73 spesies burung dan 117 spesies tumbuhan yang telah dikenal pasti hasil kerja lapangan bersama komuniti. Data tersebut turut dimasukkan ke dalam sistem e-Biodiversity oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Tambah beliau, penggunaan teknologi digital dalam pemantauan biodiversiti seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pendekatan saintifik dan berstruktur dalam pemuliharaan.
Pelaksanaan projek Rewilding Hutan Bakau yang melibatkan penanaman 2,200 pokok bakau di kawasan tanah terdegradasi turut membuktikan keberkesanan pendekatan berasaskan komuniti.
“Lebih 80 penduduk dari Kampung Rajang, Selalang dan Kerubong terlibat secara langsung, bukan sahaja dalam kerja konservasi tetapi turut menerima upah. Usaha ini menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah serta pembangunan modal insan dalam sektor hijau,” jelasnya.
Sementara itu, Bengkel Honorary Wildlife Ranger (HWR) yang berlangsung dari 10 hingga 12 Jun lalu menyaksikan seramai 50 peserta dilatih dalam aspek pengurusan hidupan liar serta penguatkuasaan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar.
“Mereka inilah bakal menjadi tulang belakang dalam memastikan kawasan seperti RMNP terus terpelihara,” ujarnya.
Len Talif turut memuji peranan kemudahan sedia ada seperti Dewan Masyarakat Kampung Rajang dan laluan akses ke taman negara yang banyak membantu kelancaran program.
Namun begitu, beliau menegaskan keperluan untuk menaik taraf kemudahan ini secara berperingkat bagi menyokong pertumbuhan ekopelancongan komuniti yang mampan.
“Kerajaan Sarawak komited untuk terus menyokong SFC dan komuniti dalam usaha pemuliharaan ini menerusi pembiayaan, dasar progresif serta kerjasama dengan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO),” tegas beliau.
Keseluruhan program ini membuktikan bahawa pendekatan berasaskan alam semula jadi (nature-based solutions), apabila disokong oleh semangat komuniti dan teknologi moden, mampu mencetuskan kejayaan jangka panjang dalam pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan masyarakat.