PENAMPANG, 13 Jun: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana koperasi berdaftar yang menjalankan pelaburan tanpa kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata koperasi yang mahu mempromosikan sebarang bentuk pelaburan wajib mendapatkan kelulusan daripada SKM terlebih dahulu, bagi memastikan ia mematuhi undang-undang dan tidak memperdaya orang ramai.
“Koperasi yang tidak mendapat kelulusan tetapi tetap menawarkan pelaburan, khususnya melalui media sosial, akan dikenakan tindakan. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan PPDK Penampang 2025 di Dewan Perpustakaan Penampang, hari ini.
Mengulas lanjut, Ewon menyeru orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, terutama jika dikaitkan dengan koperasi.
Katanya, masyarakat perlu menyemak terlebih dahulu dengan SKM atau KUSKOP sebelum membuat sebarang keputusan menyertai pelaburan yang diiklankan atas nama koperasi.
“Saya ingin nasihatkan semua rakyat Malaysia supaya merujuk terlebih dahulu kepada KUSKOP atau SKM sekiranya ada iklan pelaburan oleh mana-mana koperasi,” ujarnya.
Tambahnya, maklumat pejabat SKM mudah diakses melalui laman web rasmi atau boleh didapati di pejabat negeri dan daerah yang berdekatan.
Ditanya mengenai laporan promosi pelaburan oleh koperasi tertentu, beliau memaklumkan masih belum menerima maklumat terperinci, namun telah mengarahkan SKM membuat siasatan segera.
“Saya akan minta pihak kementerian dan bahagian koperasi, khususnya SKM, untuk kemukakan laporan terperinci,” katanya