KUCHING, 13 Jun: Sebuah syarikat yang menyediakan rawatan kulit dan kecantikan dijatuhi hukuman denda RM150,000 oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini kerana tidak mendaftarkan premisnya sebagai sebuah klinik perubatan swasta.
Menurut laporan Suara Sarawak, pemilik syarikat, lelaki berusia 29 tahun itu, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit didapati menyediakan klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Oleh itu, syarikat tersebut telah melakukan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(1)(b) Akta yang sama.
Kesalahan itu dilakukan di premis mereka di The Laksamana Cheng Commercial Suites, Jalan Laksamana Cheng Ho, sekitar jam 11.00 pagi, 23 Ogos 2023.
Musli memerintahkan syarikat itu membayar denda sebanyak RM25,000 secara ansuran sebanyak enam kali dengan bayaran pertama bermula Jun ini.
Selain itu, sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Disember depan untuk mengemas kini perkembangan pembayaran syarikat terbabit.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu iaitu Pegawai Serbuan dan anggota kesihatan dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (CKAPS), membuat serbuan dengan menggunakan waran ke atas premis yang menyediakan perkhidmatan perubatan kecantikan.
Semasa serbuan, pengamal perubatan premis tersebut gagal mengemukakan dokumen perakuan pendaftaran klinik apabila diminta oleh Ketua Serbuan.
Oleh itu, penggeledahan telah dijalankan ke atas premis kerana disyaki melanggar peruntukan Seksyen 4, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Selain itu, laporan polis dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut terhadap syarikat terbabit.
Hasil siasatan mendedahkan bahawa premis tidak berdaftar sebagai klinik perubatan swasta pada tarikh serbuan.
Surat dari Bahagian Amalan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia juga mengesahkan bahawa premis tersebut tidak mempunyai perakuan pendaftaran atau kelulusan lesen di bawah Akta 586.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Norzaizeli Abu Samah, manakala syarikat berkenaan diwakili oleh Peguam Daniel Ling.
Terdahulu, pada 25 Ogos 2019, syarikat tersebut dijatuhi hukuman denda RM160,000 atas kesalahan yang sama.
Kes pada kali ini merupakan kesalahan kedua syarikat itu kerana gagal mendaftarkan premis mereka sebagai klinik rawatan.