KUCHING, 13 Jun: Kerajaan sedang meneliti semula undang-undang perlindungan kanak-kanak susulan peningkatan kes amang seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur yang dilaporkan kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berdiam diri dalam isu tersebut sambil menambah perkara berkaitan undang-undang terletak di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Saya sudah minta supaya perkara ini diteliti semula, khususnya berkaitan had umur perlindungan kanak-kanak seperti yang diamalkan di Australia.
“Namun saya tidak boleh ulas lanjut kerana perkara itu di bawah bidang kuasa MCMC. Apa yang penting, saya mahu tegaskan bahawa kami tidak duduk diam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penggunaan Sistem eBantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas isu kewujudan kumpulan Facebook “Grup Budak-Budak Sekolah Rendah” yang tular baru-baru ini kerana didakwa memaparkan gambar kanak-kanak bawah umur untuk tujuan tidak bermoral.
Difahamkan, kandungan yang dikongsi dalam kumpulan itu termasuk gambar kanak-kanak bawah umur yang dimuat naik tanpa kebenaran, disertai dengan kapsyen serta komen berunsur lucah.
Menurut laporan media tempatan, kumpulan terbabit dipercayai telah wujud sejak Mei 2014 dan mempunyai kira-kira 12,000 ahli.
Bagaimanapun, sejak Rabu lalu, kumpulan tersebut dilaporkan tidak lagi dapat diakses di platform media sosial berkenaan.
Sementara itu, Nancy turut berkata bahawa pihak kementerian enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut kini berada di bawah siasatan pihak polis.
“Saya tahu ada komen orang ramai yang mempersoalkan kenapa kami tidak bersuara. Namun, saya berpendapat adalah lebih baik jika kita serahkan perkara ini kepada pihak polis,” jelasnya. – TVS