Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebanyak 20 reruai disediakan, antaranya Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, TV AlHijrah, serta portal digital seperti RotiKaya dan Vanakkam Malaysia selain penyertaan daripada media Sabah dan Sarawak. Foto: BERNAMA

HAWANA 2025 buka tirai hari ini

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Jun:  Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” membuka tirai secara rasmi hari ini.

Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, sambutan HAWANA 2025 yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad dimulakan dengan Karnival HAWANA di ruang legar Sunway Putra Mall bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Karnival berkenaan akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran pada 3 petang ini dengan sasaran 5,000 pengunjung.

Sebanyak 20 reruai disediakan, antaranya Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, TV AlHijrah, serta portal digital seperti RotiKaya dan Vanakkam Malaysia selain penyertaan daripada media Sabah dan Sarawak.

Selain itu, antara pengisian Karnival HAWANA adalah mini konti Bernama, pocket talk, perkhidmatan Bernama, pemberian akhbar digital, kuiz, cabutan bertuah dan cabaran baca berita.

HAWANA 2025 menerima tajaan dan sumbangan daripada hampir 100 rakan strategik, jumlah yang meningkat berbanding 44 pada tahun lepas, sekali gus membuktikan HAWANA semakin mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan malah turut menarik sokongan sektor korporat.

Kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka berkumpul sempena sambutan tahun ini, menjadikan HAWANA 2025 sebagai platform penting untuk memperkukuh jaringan profesional serta memperkasa etika kewartawanan dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI).

Esok, sambutan HAWANA 2025 diteruskan dengan penganjuran Forum HAWANA 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, bermula 9 pagi, diikuti majlis kemuncak sambutan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, WTCKL.

Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan