KUCHING, 13 Jun: Bintulu Port menafikan penglibatan dalam sebarang sesi taklimat dan temu duga berkaitan Biasiswa Maritim Oil dan Gas Khas Kepada Anak Sarawak yang didakwa berlangsung di premisnya hari ini.
Menurut Unit Komunikasi Korporat (UKK) Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dalam satu hantaran di Facebook, pihaknya tidak pernah mengeluarkan poster berkaitan program berkenaan.
“Ingin kami tegaskan bahawa poster tersebut tidak dikeluarkan oleh Capability Department, GHC, atau mana-mana unit rasmi di bawah BPHB. Malah, inisiatif ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan BPHB atau mana-mana anak syarikatnya.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan sebarang maklumat yang menggunakan nama atau lokasi Bintulu Port,” menurut kenyataan itu hari ini.
BPHB turut menegaskan bahawa segala pengumuman rasmi syarikat hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi yang sah.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan bahawa satu sesi taklimat berkaitan biasiswa khas itu akan diadakan di Bintulu Port pada jam 8 pagi, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam. – TVS