SEREMBAN, 12 Jun: Seorang warden sebuah pusat pengajian agama dipenjara enam tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tiga daripada 15 pertuduhan meliwat serta melakukan amang seksual terhadap tujuh pelajar lelaki.
Tertuduh, Mohd Khairi Fitri Baharom, 38, dalam keadaan menangis membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Surita mengarahkan hukuman bermula pada tarikh tangkapan pada 25 Mei lepas serta mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama satu tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh mengaku telah melakukan amang seksual fizikal dan meliwat seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia 12 tahun empat bulan dan 13 tahun empat bulan serta seorang lagi mangsa berusia 10 tahun tujuh bulan.
Kesalahan terbabit dilakukan di bilik warden di pusat pengajian berkenaan di Jempol antara 15 hingga 20 Disember 2023 hingga 7 Januari 2025.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana masih perlu menjaga ibu bapa selain masih belum berkahwin.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai memberi pengajaran.
Katanya, pengakuan bersalah tertuduh bukanlah faktor peringanan hukuman ditambah pula kes tersebut melibatkan kanak-kanak. – TVS.