KUCHING, 12 Jun: Seminar Pertalian Kerajaan Kesultanan Sarawak dan Sambas anjuran Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) disifatkan sebagai platform penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengenali budaya antara negeri ini dan Kabupaten itu selain mengkaji sejarah susur galur sedia ada.
Penasihat Fakulti FSGK UNIMAS, Shaik Azahar Shaik Hussain berkata seminar itu juga bertujuan untuk memperkenalkan semula pertalian persaudaraan antara Sarawak dan Sambas.
“Tujuan utama seminar ini adalah untuk memperkenalkan semula hubungan anatara Sarawak dan Sambas yang mungkin terputus sebelum ini.
“Tambah lagi, kita nampak banyak persamaan antara kedua-dua tempat ini yang berasal dari satu kesultanan yang sama,” katanya ketika ditemui pemverita di Borneo Cultures Museum, hari ini.

Menurutnya lagi, hubungan yang terjalin sejak berabad lamanya ini boleh dijadikan asas untuk memperkukuh silaturahim antara masyarakat serumpun, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk bekerjasama dalam penganjuran seminar atau acara pada masa hadapan.
Antara perkara menarik yang dihuraikan ketika seminar itu adalah pertalian antara kerabat tertentu dari keluarga Mas, Tan, Perabangan dan Radin yang dikenal pasti mempunyai hubungan langsung dengan kerabat Sambas.
Namun demikian, cabaran utama dalam usaha mengekalkan pertalian ini adalah kekurangan dokumentasi lengkap serta risiko kehilangan manuskrip.
Kata Pangeran Ratu Muhammad Tarhan Pangeran Ratu Winata Kesuma yang merupakan penceramah jemputan selaku waris kepala Kesultanan Sambas, digitalisasi dokumen dan manuskrip penting memainkan peranan untuk mengekalkan tinggalan sejarah untuk generasi muda
“Digitalisasi amat penting kerana kertas boleh reput dan tidak berkekalan, tetapi dengan adanya versi digital, ia boleh diwariskan kepada generasi yang akan datang,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar pemulihan dan pemuliharaan manuskrip serta penyelidikan sejarah bakal menjadi jambatan untuk menjalinkan dan mengekalkan silaturahim yang erat antara Sarawak dan Sambas.
Seminar berkenaan juga memberi manfaat untuk perspektif pelajar universiti yang membantu menjayakan program ini terutamanya dalam membina kemahiran insaniah (soft skills) ketika berinteraksi dengan wakil istana, muzium dan komuniti yang tidak dapat dipelajari dalam bilik kuliah.
Pihak FSGK akan mengadakan semula seminar terbabit pada 25 Jun dan 26 Jun ini dengan topik “Asal Usul Astana dalam Masyarakat Dahulu” dan “Batang Lupar dalam Lipatan Sejarah Sarawak”. – TVS