KUALA TERENGGANU, 12 Jun: Terengganu FC (TFC) hanya akan mendaftarkan maksimum empat pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata keputusan itu dibuat susulan kekangan kewangan serta usaha untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain tempatan.
Menurutnya kelab TFC yang berpangkalan di Kuala Nerus sudah menyenarai pendek beberapa pemain import berpotensi, namun perbincangan lanjut perlu dilakukan, terutama membabitkan posisi yang akan diisi.
“Kita terpaksa kurangkan jumlah pemain import musim ini kerana faktor kewangan, kos terlalu tinggi.
“Pada masa sama, kita mahu beri ruang kepada pemain tempatan. Jika kualiti setanding, lebih baik beri peluang kepada anak tempatan berbanding bayar mahal kepada pemain import,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Penajaan Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di sini, hari ini.
Musim lalu, skuad Penyu menggunakan khidmat enam pemain import dan menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima.
Bagaimanapun, hanya pemain tengah dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov, dikekalkan bagi musim ini, manakala lima lagi digugurkan berikutan prestasi tidak konsisten serta kos yang tinggi. – TVS