MIRI, 12 Jun: Karnival Gawai Tradisional Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung di FORUM Cultural Centre Miri selama dua hari bermula hari ini bukan sahaja meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan, malah menjadi pentas penyatuan komuniti Orang Ulu dari seluruh negeri menerusi pertandingan sukan rakyat berasaskan warisan tradisi.
Wakil Persatuan Kenyah Sarawak, Roland Ngau Raymond, 26, menyifatkan penyertaannya dalam karnival ini sebagai satu pengalaman bermakna.
“Perasaan saya amat excited lah, sebab kira ini macam first program yang kita ada… saya gembira rasa macam berkumpul di tempat. Program ini memberi manfaat yang banyak lah…kita dapat tahu yang Orang Ulu ini bukan terdiri daripada Kenyah, Kayan atau Kelabit sahaja. Ada banyak lagi persatuan lain,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Roland turut berharap agar program seumpama ini dapat dijadikan acara tahunan sebagai satu bentuk pengiktirafan dan pengukuhan budaya komuniti.
“Harapan saya memang besar. Kita harap program ini dapat diteruskan… macam satu acara akhir untuk kita orang ulu,” tambahnya.
Sementara itu, Mark Tarang, 32, dari Kumpulan Amai Pemancha yang menyertai acara tarik tali berkata meskipun pasukannya tewas, semangat yang dibawa jauh lebih penting.
“Bangga untuk ikut tarik tali walaupun kalah. Tahun depan, kami akan cuba lagi yang terbaik,” katanya.
Beliau juga melihat program ini sebagai saluran penting untuk mendekatkan golongan muda kepada akar budaya mereka.
“Karnival ini amat baguslah untuk anak-anak muda yang sebaya macam saya. Untuk akan datang, saya harap mungkin boleh beri lebih impak besar lagi kepada anak-anak muda yang join program ni… Culture dia memang the best dari Orang Ulu,” ujarnya.
Bagi Tina Kim Sem, 39, dari Kelab Foressa Miri, yang buat pertama kali menyertai sukan rakyat, turut berkongsi keterujaan.
“Kami sangat gembira kerana diberi peluang untuk bersama-sama mengikuti sukan rakyat ini… pertandingan seperti ini sangat bagus untuk dibuat selalulah. Sebab macam kita tahu, anak muda zaman sekarang ramai yang tak tahu sukan rakyat itu macam mana,” katanya.
Antara acara yang mencuri perhatian ialah tarik tali, menebar jala atas kelapa, madiep dueng pew (menghantar barang dengan kelapa sawit), tarik papa piasau (membawa kelapa dalam kain), batak lampung (gasing tradisional), menyumpit dan melontar batu.
Karnival Gawai Tradisional 2025 ini bukan sahaja mencipta ruang interaksi antara generasi, tetapi turut memperkukuh identiti komuniti Orang Ulu sebagai pemegang warisan yang kaya dan unik. Dengan penglibatan aktif pelbagai persatuan dan jabatan, acara ini diharap menjadi batu asas kepada penganjuran yang lebih besar dan konsisten pada masa akan datang.— TVS