JOHOR BAHRU,12 Jun: Satu sindiket yang dipercayai menyeludup dadah dari Hong Kong menggunakan perkhidmatan kurier berjaya ditumpaskan susulan rampasan lebih 10 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM1 juta.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, sepasukan pegawai melakukan pemeriksaan ke atas dua buah kotak parcel yang mencurigakan di sebuah pejabat pos laju pada 23 April lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati setiap kotak mengandungi dua bungkusan gula-gula yang diletakkan di atas botol putih yang mengandungi cecair hitam.
“Ujian saringan awal terhadap cecair hitam tersebut mendapati ia positif dadah jenis morfin dengan berat 10.194 kg yang dianggarkan bernilai RM955,687.
“Siasatan awal mendapati parcel itu dihantar dari Hong Kong ke sebuah rumah teres dua tingkat di Pulai,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Katanya, status berkaitan pemilikan rumah itu dan jumlah individu terlibat masih dalam siasatan.
“Rampasan ini adalah kejayaan besar JKDM Johor dan kami akan terus mempergiatkan pemeriksaan terhadap bungkusan mencurigakan di semua pintu masuk termasuk pusat kurier,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS.