BELAWAI, 12 Jun: Beberapa pengusaha udang salai atau lebih dikenali sebagai sesar unjur di Kampung Belawai dekat Tanjung Manis kini berpotensi untuk beralih kepada penggunaan mesin khas bagi menggantikan kaedah tradisional menggunakan kayu bakau, dalam usaha memelihara hutan bakau dan spesies mamalia marin seperti lumba-lumba Irrawaddy.
Fatimah Lain, 67, yang sudah berdekad menghasilkan sesar unjur, berkata mesin baharu itu kurang memerlukan tenaga kerja serta lebih menjimatkan kos kerana penggunaan kayu bakau dapat dikurangkan sehingga 80 peratus.
“Mesin ini tidak perlu dipantau seperti kaedah lama. Ia juga mengurangkan penggunaan kayu dan lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) susulan penganjuran program latihan dan penyerahan rumah salai serta mesin kepada komuniti baru-baru ini.
Projek perintis berkenaan dilaksanakan oleh WWF-Malaysia dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan UNIMAS dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Sesar unjur ialah produk bermusim bernilai tinggi, mencecah RM180 sekilogram, dengan versi dari kawasan Belawai–Rajang–Paloh terkenal dengan aroma asapnya.
Namun, penghasilan secara tradisional menyumbang kepada penebangan bakau secara berlebihan terutama ketika musim puncak.

Kawasan bakau Rajang–Belawai–Paloh seluas hampir 94,000 hektar itu bukan sahaja penting kepada pendapatan nelayan, malah menjadi habitat lumba-lumba Irrawaddy yang diancam kepupusan.
Menurut Fatimah, mesin salai mampu memproses sehingga 100 kilogram udang mentah sehari, berbanding 200 kilogram menggunakan kaedah lama.
Katanya, rasa udang salai dari mesin masih belum setanding kaedah tradisional, namun beliau terbuka untuk menyesuaikan diri demi kelestarian.
Sementara itu, Pemanca Morshidi Moris yang juga Pengerusi Koperasi Belawai Mukah Berhad, berkata mesin salai ini merupakan inisiatif kedua di kawasan itu.
Kali ini pengusaha tempatan terlibat sejak awal termasuk memberi maklum balas agar mesin menggunakan LPG bagi menjimatkan kos.
“Rasa udang salai mesin kini hampir 70 peratus menyerupai rasa tradisional. Mesin ini akan digunakan ahli koperasi dan penerimaan dijangka meningkat apabila manfaatnya dilihat sendiri,” katanya.
Katanya, generasi muda dilihat lebih terbuka terhadap kaedah pemprosesan moden yang menyokong amalan pengeluaran lebih lestari.
Menurut Pengurus Kanan Landskap WWF-Malaysia Sarawak, Ailyn Nau Sidu, jika kawasan bakau tidak diurus secara mampan, ia boleh menjejaskan sumber ikan dan mamalia marin yang menjadi punca rezeki komuniti.
Beliau turut memaklumkan bahawa kajian awal UNIMAS menunjukkan mesin baharu berjaya mengurangkan penggunaan kayu bakau sehingga 80 peratus berbanding kaedah tradisional.
Projek ini turut membangunkan sistem automasi salai dikenali SMOKAHs (Smoking Automation with Hybrid-heat Sources) yang menggunakan tenaga elektrik dan solar, mengurangkan pelepasan karbon sehingga 80 peratus serta menepati piawaian keselamatan makanan Kesatuan Eropah.
Menurut jurutera projek, Dr Lidyana Roslan, satu kitaran SMOKAHs hanya menggunakan satu hingga dua kilogram kayu bakau untuk menghasilkan 16 kilogram sesar unjur, berbanding 20.72 kilogram menggunakan kaedah konvensional.-TVS