SANDAKAN, 12 Jun: Ratusan lampu jalan di enam laluan utama sekitar Sandakan sering padam secara berulang kali akibat kecurian kabel dan perbuatan vandalisme, sekali gus mendedahkan pengguna jalan raya kepada risiko kemalangan.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson mendedahkan bahawa jenayah itu memberi kesan besar kepada keselamatan dan imej bandar.
“Lampu baru diperbaiki, seminggu kemudian gelap semula kerana panel kawalan dibongkar dan tembaga dicuri,” katanya.
Laluan terjejas termasuk Jalan Lintas Sibuga, Jalan Mangkalinau, Jalan Sungai Batang, Jalan Buli Sim-Sim, Jalan Lintas Utara dan Jalan Baru Sapi. Lebih 20 lampu boleh padam serentak jika satu panel dikompromi.
Menurut Walter, kebanyakan kes dipercayai berpunca daripada kawasan setinggan dan melibatkan individu yang mahir dengan sistem pencahayaan.
“Isu ini menjejaskan imej Sandakan dan kerajaan kerana orang awam mengadu tiang dipasang tetapi lampu tidak menyala,” tegas beliau.
Seorang pegawai kerajaan, Adam Bryan Lee, berkata keadaan gelap terutama di kawasan cerun dan simpang membahayakan pengguna jalan.
“Kalau tiada lampu di kawasan bukit atau jalan runtuh, memang boleh undang bahaya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Joseph Hing pula terpaksa menggunakan spotlight sendiri ketika memandu ke Sim-Sim.
“Setiap malam gelap. Tiada penyelenggaraan. Bahaya bila orang melintas, kita tak nampak,” jelasnya.
Sebagai langkah pemulihan, MPS kini dalam proses menggantikan lampu konvensional kepada lampu solar secara berperingkat. Tambahan itu, seorang jurutera khas telah dilantik untuk memantau keadaan lampu.
Walter turut menyeru orang ramai membantu dengan menyalurkan maklumat:
“Kalau nampak orang korek tiang lampu, ambil gambar dan hantar ke hotline PDRM 089-212222.”
Polis telah bersetuju menambah rondaan, manakala MPS yakin hanya kerjasama semua pihak dapat memulihkan keadaan ini. -TVS