KUALA LUMPUR, 12 Jun: Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang dirangka bagi mengiktiraf secara rasmi hak-hak golongan berumur masih di peringkat libat urus bersama pihak berkepentingan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya ingin memastikan kesemua cadangan dan maklum balas diberikan akan diambil kira dalam perangkaan RUU tersebut.
“Ramai sebenarnya yang berminat dalam hal ini, maka kami tidak mahu ada pihak rasa terpinggir,” katanya kepada media selepas hadir Program Wanita Gig and Business in Technology (Gig@Bit) di sini, hari ini.
Nancy menjelaskan, KPWKM juga telah menubuhkan Pasukan Projek Khas (SPT) bagi melihat secara menyeluruh aspek yang perlu dimasukkan dan ditambah dalam RUU tersebut.
Mengulas lanjut, kata beliau, draf tersebut akan dibentang kepada Jemaah Menteri selepas selesai semua sesi libat urus, dan kemudiannya dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan lanjut sebelum dibentang ke Dewan Rakyat.
“Ahli Parlimen penyokong kerajaan (backbenchers) juga perlu diberi penerangan kerana mereka akan terlibat dalam proses perbahasan nanti,” katanya.
Tambah Nancy, RUU tersebut bukan hanya terdiri daripada warga emas yang uzur tetapi juga mereka yang masih sihat dan aktif.
“RUU ini melihat apa jenis pembangunan termasuk infrastruktur yang diperlukan untuk mereka kerana kita menyedari banyak lagi yang perlu dilaksanakan,” katanya. – TVS.