KUALA LUMPUR, 12 Jun: Kerajaan menyasarkan untuk mencapai beberapa keputusan penting dalam rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif yang dikenakan negara itu kepada Malaysia dalam satu pertemuan di Washington pada 18 Jun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara tumpuan rundingan tersebut adalah untuk mengurangkan tarif asas minimum sebanyak 10 peratus terhadap barangan import negara.
Jelas beliau, AS menyatakan bahawa kadar itu tidak boleh dirunding manakala Malaysia meletakkan sasaran pertama adalah untuk mengurangkan kadar itu.
“Sasaran kedua pula ialah terdapat sektor-sektor yang kami rasakan sepatutnya berada di bawah kadar 10 peratus.
“Kita sedang memerhatikan sektor-sektor tersebut dengan lebih teliti, “ katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Sosialisasi Serantau Pelan Strategik AEC bagi Wawasan Komuniti ASEAN 2045 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri , Liew Chin Tong.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, antara contoh industri yang disifatkan tidak wajar dikenakan tarif sebanyak 10 peratus itu ialah sektor perabot dan minyak sawit yang dilihat tidak bersaing secara langsung dengan AS.
Tengku Zafrul yang akan mengetuai rundingan bersama Wakil Perdagangan AS (USTR) Jamieson Greer serta wakil-wakil pentadbiran AS menyifatkan ia bukan suatu perkara yang mudah.
Katanya, kerajaan akan mengambil pendekatan dengan menunjukkan bahawa hubungan antara Malaysia dan AS dalam aspek perdagangan dan pelaburan adalah saling melengkapi.
“Kita bukanlah pihak yang menanggung kos atau bersaing secara langsung dengan AS,” katanya.
Pada 2 April lepas, Presiden AS, Donald Trump telah mengumumkan tarif terhadap kira-kira 60 negara termasuk 24 peratus ke atas kebanyakan barangan Malaysia.
Bagaimanapun, tarif itu telah ditangguhkan selama 90 hari bagi kebanyakan negara untuk membolehkan rundingan perdagangan diadakan. – TVS.