Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika mengadakan lawatan kerja ke kilang pemprosesan Iana Corporation Sdn Bhd, Miri, hari ini. Foto TVS

Potensi rantaian industri makanan Sarawak bina pasaran berdaya saing

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 12 Jun: Industri makanan Sarawak disarankan agar dibangunkan dengan rantaian bekalan yang lengkap dan mampan bagi memastikan pengeluaran produk berasaskan pertanian terus berkembang secara konsisten serta berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, meskipun permintaan pasaran sentiasa tinggi, keupayaan untuk menyediakan bekalan bahan mentah secara berterusan kekal menjadi cabaran utama yang memerlukan perancangan komprehensif.

“Oleh itu, apabila kita bercakap mengenai rantaian bekalan lengkap dalam industri, kita mesti mewujudkan industri yang berdaya saing. Namun, industri ini penuh dengan cabaran. Salah satunya ialah di peringkat huluan, iaitu memastikan bekalan bahan mentah mencukupi agar pengeluaran dapat berjalan secara mampan.

“Paling penting juga ialah pasaran. Apa yang saya dimaklumkan, isu utama bukanlah pada bahagian pasaran kerana permintaan sentiasa ada. Sebaliknya, cabaran utama adalah konsistensi bekalan bahan mentah seperti ikan, telur dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang pemprosesan Iana Corporation Sdn Bhd di sini, hari ini.

Tambah beliau, pergantungan terhadap bekalan bahan mentah seperti ikan, telur dan lain-lain memerlukan satu perancangan menyeluruh yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertanian Sarawak.

Menurutnya lagi, perancangan jangka panjang juga perlu dirangka sekiranya syarikat-syarikat tempatan berjaya menembusi pasaran luar negara.

“Sekiranya perniagaan berkembang pesat dan permintaan meningkat, bekalan bahan mentah mesti sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan industri seperti yang berlaku dalam sektor sagu, nanas, kelapa dan lada hitam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi contoh industri lada Sarawak yang menurutnya masih mempunyai potensi besar untuk diterokai, khususnya dalam penghasilan produk hiliran.

“Sebagai contoh, Sarawak menghasilkan 98 peratus iaitu biji lada di Malaysia. Namun, hasil pendapatan daripada lada hanyalah sebanyak RM153 juta setahun.

“Tetapi, pendapatan sebenar daripada aktiviti hiliran seperti serbuk lada dan produk berasaskan lada mencecah sehingga RM2.2 bilion. Oleh itu, ini peluang yang perlu kita terokai untuk merebut pasaran tersebut serta meningkatkan hasil pendapatan daripada industri lada,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber bahan mentah dari luar negara kerana kawalan kualiti sukar dilaksanakan khususnya berkaitan penggunaan racun serangga dan pematuhan piawaian eksport antarabangsa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan