KUCHING, 12 Jun: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk membangunkan pangkalan data pemandu bas ekspres dan persiaran bagi penambahbaikan keselamatan pengangkutan awam darat.
Menurutnya, cadangan untuk membina serta menyediakan pangkalan data bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau yakin jika diusahakan dengan teliti, ia pasti akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Abdul Karim mengakui, ia akan dapat membantu menyelesaikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan insiden kemalangan di jalan raya.
“Jika ada mana-mana entiti sama ada pihak kementerian atau badan lain yang boleh menangani masalah ini dan pada masa yang sama menambah baik sistem yang sedia ada, sudah tentu kita amat mengalu-alukan penambaikan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Samarahan Bike Challenge 2025 di Kuching pada Khamis.
Untuk rekod, Kementerian Pengangkutan berusaha untuk membangunkan pangkalan data ini susulan kemalangan maut membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Isnin lepas.
Dalam kejadian itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik di Jalan Raya Timur-Barat manakala 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza. – TVS