KUCHING, 12 Jun: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah memeriksa 8,915 kenderaan dengan sebanyak 1,570 notis ketidakakuran dikeluarkan sepanjang Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) bermula dari 4 hingga 10 Jun 2025.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya berkata, dua kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan yang dikesan.
“Antara kesalahan utama yang sering ditemui sepanjang pemeriksaan dijalankan ialah lesen memandu yang tamat tempoh serta cukai jalan yang tidak diperbaharui oleh pemilik kenderaan.
“Sehubungan itu, JPJ Sarawak ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya agar segera memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan masing-masing sekiranya telah tamat tempoh,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam masa yang sama, pemilik atau pemandu kenderaan juga digesa untuk sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.
Pemeriksaan terhadap aspek teknikal serta pematuhan kepada spesifikasi kenderaan adalah penting sebelum memulakan perjalanan.
JPJ Sarawak turut menyeru agar setiap pengguna jalan raya mengamalkan sikap berhemah ketika memandu dan sentiasa memainkan peranan dalam memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain. – TVS