KUALA LUMPUR, 12 Jun: Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan tidak akan menyembunyikan isu pemandu bas yang mempunyai rekod saman.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pemandu terlibat akan dinilai semula kelayakan perkhidmatan bagi menjamin keselamatan pengguna pengangkutan awam, khususnya melibatkan bas persiaran.
“Insya-Allah, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan semalam, perkara ini akan diteliti.
“Kita akan ambil tindakan terhadap mereka yang degil (malah) tidak akan sembunyikan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Jelajah Ria 2.0 sempena Sambutan Hari Keretapi Sedunia 2025 di sini hari ini.
Tambah beliau, MOT akan menilai semula rekod saman para pemandu bagi memastikan hanya individu yang layak dan bertanggungjawab dibenarkan mengendalikan kenderaan awam seperti bas.
Dalam perkembangan berkaitan, Hasbi turut memaklumkan bahawa MOT sedang dalam perbincangan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung cadangan supaya kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan dikembalikan kepada kementerian itu.
“Terdapatbanyak aspek yang perlu diteliti kerana untuk mengawal selia operasi bas persiaran, ia melibatkan pelbagai perkara yang perlu dikaji dan diuji terlebih dahulu,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan MOTAC menggesa kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan diserahkan semula ke kementerian itu susulan kemalangan yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal Isnin lalu. – TVS