KUCHING, 12 Jun: Stesen penyiaran, TV Sarawak (TVS) mematuhi Garis Panduan Penapisan Filem 2024 yang ditetapkan kerajaan, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi terhadap penerbitan kandungan beretika dan selaras nilai budaya tempatan.
Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Mohamad Khir Mat Lazim berkata TVS sentiasa bekerjasama baik dengan pihaknya dan berupaya mengekalkan pematuhan terhadap semua garis panduan ditetapkan.
“Kita lihat usaha TVS ini akan berterusan dan dalam jangka panjang, tiada halangan besar bagi mereka untuk terus mematuhi peraturan berkaitan penapisan filem.
“Kita amat berbangga dengan perkembangan TVS ketika ini,” katanya ditemui selepas mengetuai delegasi LPF dalam lawatan ke Ibu Pejabat TVS di sini, hari ini.

Lawatan itu turut diselitkan dengan bengkel pemantapan garis panduan penapisan filem yang dianjurkan khas buat warga kerja TVS, bertujuan memperkukuh kefahaman mengenai Garis Panduan Penapisan Filem 2024 mengikut keperluan semasa industri penyiaran.
Menurut Khir, bengkel berkenaan turut memberi penekanan kepada cabaran baharu dalam industri kandungan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan imej janaan komputer (CGI) dalam penerbitan filem serta program televisyen.
“Latihan ini penting supaya para penerbit lebih peka terhadap perkara baharu dalam penapisan kandungan.
“Apabila menghasilkan filem atau program, mereka lebih berhati-hati agar tidak melanggar garis panduan ditetapkan LPF,” jelasnya.