KUALA LUMPUR, 12 Jun: AFFIN Hwang Investment Bank Berhad (AFFIN HWANG) melancarkan kempen utama sulungnya yang dinamakan ‘Wish Tree Fundraising Campaign’ hasil kerjasama dengan MERCY Malaysia dan Exchange 106.
Kempen ini berlangsung di Exchange 106 dan menampilkan penyertaan peniaga tempatan yang menyokong usaha kemasyarakatan, sekali gus membuktikan bagaimana perniagaan, komuniti dan misi bersama boleh bergabung untuk memberi impak yang bermakna di kawasan paling memerlukan.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Group, Datuk Wan Razly Abdullah dalam kenyataan berkata kerjasama bersama MERCY Malaysia mencerminkan komitmen teguh AFFIN Group untuk memberi impak positif.
“Apa sahaja yang kami sentuh, kami mahu tinggalkannya dalam keadaan yang lebih baik. Kejayaan MERCY Malaysia dalam kerja kemanusiaan dan komuniti sangat selari dengan matlamat kelestarian kami, memastikan setiap sumbangan yang diberikan membawa perubahan yang kekal dan bermakna.
“Didorong oleh rancangan strategik kumpulan iaitu Axelerate 2028 (AX28) yang menumpukan kepada Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab Dengan Impak, AFFIN Group berusaha menanamkan prinsip kelestarian dalam strategi perniagaan serta memberi inspirasi kepada kakitangan, rakan niaga dan pemegang taruh untuk memainkan peranan dalam membina Malaysia yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus pula menyatakan kerjasama seperti ini menunjukkan kuasa perkongsian antara sektor awam dan swasta dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan tepat pada masanya.
“Kami berbangga bekerjasama dengan AFFIN Hwang Investment Bank dalam memastikan setiap ringgit yang dikumpul disalurkan terus kepada usaha bantuan bencana yang amat memerlukan, membawa harapan dan belas kasihan kepada komuniti paling terkesan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kerjasama ini menyerlahkan kekuatan sinergi merentas sektor dalam mewujudkan impak bermakna yang dipacu oleh komuniti.
Melalui gabungan usaha organisasi kemanusiaan berdedikasi, pemilik lokasi dan peniaga yang prihatin, Kempen Wish Tree membuktikan bahawa tujuan kolektif boleh membawa perubahan sebenar dalam ekosistem kewangan dan korporat negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Exchange 106, Patrick Honan berkata pihaknya percaya bangunan bukan sekadar ruang fizikal, tetapi menjadi pemangkin kemajuan bersama.
“Menjadi tuan rumah kepada Wish Tree adalah sejajar dengan visi kami untuk menterjemahkan aspirasi ESG kepada tindakan nyata dan dapat dilihat orang ramai.
“Kami berasa bangga menyokong kempen ini dan memainkan peranan dalam menghubungkan korporat Malaysia dengan impak kemasyarakatan yang bermakna,” tambah beliau.
Kempen ini digerakkan menerusi dua komponen utama, iaitu pelancaran simbolik pokok ‘Wish Tree’ dan penganjuran Fundraising Bazaar di Menara AFFIN, Tun Razak Exchange (TRX) yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 Jun 2025.
Melalui bazar ini, peniaga terlibat akan menyumbangkan sebahagian daripada hasil jualan mereka kepada Tabung Bantuan Bencana MERCY Malaysia.
Antara peniaga yang mengambil bahagian dalam bazar amal ini termasuk Sometime by Asian Designers, Watsons Malaysia, Chef Kecik, Tile Concept, Micro Garden, i-Scent, Ho Ho Musang King, Ambon Boenda, Hi-Bliss, Kyuji, NALE dan SMC Marketing & Advertising Sdn. Bhd.
Kempen Wish Tree Fundraising Campaign dijangka menjangkau lebih 13,000 profesional di sekitar Tun Razak Exchange (TRX), sekali gus merangsang kesedaran terhadap ESG dan penglibatan komuniti yang lebih meluas.
Semua kutipan dana kempen akan ditadbir di bawah kerangka ESG telus AFFIN HWANG, selaras dengan Taksonomi Berasaskan Prinsip dan Perubahan Iklim Bank Negara Malaysia (CCPT). – TVS