SANDAKAN, 12 Jun: Inisiatif DAYANG, sebuah skim pinjaman dan bimbingan khas untuk wanita diperkenalkan dalam program ‘Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi’ sebagai usaha memperkasakan wanita Sabah dalam bidang keusahawanan dan ekonomi digital.
“Inisiatif ini bukan sekadar memberikan kemudahan pinjaman, tetapi juga merangkumi bimbingan mentor-mentee untuk membentuk usahawan yang berjaya, termasuk dari segi ilmu pemasaran dan platform e-dagang,” kata Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Azizah Mohd Dun dalam program yang berlangsung di Dewan Sri Libaran, semalam.
Beliau berkata, wanita bukan hanya berpotensi untuk berniaga, malah mampu mencipta impak sosial yang besar di peringkat komuniti.
Jelasnya, tumpuan IDS ketika ini adalah kepada daerah-daerah termiskin di Sabah melalui pendekatan pembangunan yang disesuaikan dengan cabaran dan potensi setempat.
“Inilah yang perlu dilakukan jika kita mahu merubah nasib mereka dan seterusnya merubah ekonomi kawasan tersebut. Setiap daerah ada cabaran dan potensi berbeza,” ujarnya.
Setakat ini, lebih 8,000 usahawan wanita telah direkodkan oleh agensi kerajaan dan usaha sedang digiatkan bagi memperkukuh jaringan sokongan mereka secara sistematik.
Peserta program turut berkongsi inspirasi yang diperoleh hasil penyertaan seperti Hanna Marsha Harijul, usahawan SISNITA dari Sandakan yang menyifatkan program berkenaan membuka peluang jaringan luar kawasan yang sangat penting dalam pengembangan produk.
Bagi usahawan kerepek, Ramma Zarifuddin, program ini menjadi pemangkin semangat untuk terus mengembangkan perniagaan.
“Kami dapat banyak pengalaman dan input berguna untuk terus memperkasakan produk kami,” katanya.
Program anjuran IDS itu dijangka diteruskan ke beberapa daerah lain sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan wanita luar bandar di Sabah.- TVS