Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bunga dan lilin diletakkan di tapak peringatan sementara di hadapan sekolah sehari selepas 10 orang terkorban dalam insiden tembakan di Graz pada 11 Jun. Foto AFP

Austria berkabung: 10 maut ditembak bekas pelajar di sekolah Graz

ByAFP

GRAZ (Austria), 12 Jun: Rakyat Austria yang bersedih, mengadakan upacara peringatan penuh air mata pada Rabu bagi mengenang 10 individu yang ditembak mati di sebuah sekolah menengah oleh bekas pelajar, dalam satu serangan yang belum pernah berlaku di negara itu.

Para hadirin menangis, berpelukan serta meletakkan bunga, lilin dan surat kepada mangsa di gereja-gereja dan di luar sekolah di Graz, bandar kedua terbesar di Austria.

“Terima kasih, Hanna, untuk 15 tahun yang saya dapat habiskan bersamamu,” kata Kenan ketika memberi penghormatan kepada adiknya dalam satu majlis peringatan pada malam Rabu.

“Sukar untuk percaya bahawa kami kehilangan seorang gadis yang begitu ceria, bertenaga, berani, ingin tahu dan suka membantu pada usia yang begitu muda.”

Kerajaan Austria mengisytiharkan tiga hari berkabung untuk mangsa kejadian tembakan pada Selasa di Sekolah Menengah Dreierschuetzengasse, termasuk detik hening peringkat kebangsaan pada pagi Rabu.

Loceng gereja berbunyi di seluruh Austria, orang ramai berhenti di jalanan, siaran radio dan televisyen tergendala, manakala pengangkutan awam turut dihentikan seketika.

Menurut agensi berita Austria, APA, antara mangsa termasuk seorang guru dan sembilan remaja berumur antara 14 hingga 17 tahun, termasuk seorang warga gabungan Perancis-Austria dan seorang warga Poland.

Daripada sebelas individu yang cedera, sembilan masih dirawat di unit rawatan rapi namun dalam keadaan stabil pada Rabu, menurut pegawai hospital.

Ratusan orang turut bergegas menderma darah sebagai tindak balas kepada seruan dari Palang Merah.

“Ia sungguh mengejutkan,” kata Mariam Fayz, pelajar berusia 22 tahun kepada AFP semasa acara nyalaan lilin.

“Kami akan sentiasa terkenangkan insiden ini.”

Guru agama, Paul Nitsche berkata beliau berada di dalam bilik darjah apabila terdengar satu dentuman, diikuti bunyi kelongsong peluru berguguran di lantai koridor.

“Sesuatu meletus dalam diri saya, saya terus melompat dan ambil keputusan untuk lari,” katanya yang juga pastor evangelis.

“Semasa saya lari menuruni tangga, saya fikir, ‘Ini bukan realiti, ini macam filem.’”

Dalam satu acara peringatan pada Rabu, seorang pelajar menceritakan detik mereka sedar ada penembak di sekolah.

“Para pelajar berlari menyelamatkan diri,” katanya, sambil menambah bahawa pelajar yang lebih tua cuba melindungi yang lebih muda.

Menurut polis, suspek adalah seorang rakyat Austria dari kawasan Graz yang menggunakan dua senjata yang dimilikinya secara sah – senapang patah dan sepucuk pistol.

Pengulas media menyorot betapa mudahnya rakyat Austria memiliki senjata api, dan jumlah senjata yang agak tinggi dalam edaran.

Semasa lawatan ke Graz, Presiden Austria, Alexander Van der Bellen berkata negara itu masih dalam keadaan amat terkejut susulan kengerian yang amat dahsyat ini.

“Jika kita mendapati undang-undang senjata api Austria perlu diubah bagi menjamin keselamatan yang lebih baik, maka kita akan lakukannya,” kata beliau dalam majlis peringatan.

Penembak berusia 21 tahun itu adalah bekas pelajar sekolah menengah berkenaan tetapi tidak menamatkan pengajiannya di situ. Dia bertindak secara bersendirian dan menamatkan riwayat sendiri di dalam tandas sekolah.

Dalam serbuan di rumah suspek, polis menemui bom buatan sendiri yang tidak berfungsi, sepucuk surat perpisahan serta rakaman video yang ditujukan kepada ibunya, namun tiada satu pun memberi petunjuk mengenai motif serangan.

Akhbar-akhbar Austria memaparkan tajuk utama seperti “Mengapa?” dan “Ia Mengerikan”, manakala akhbar harian Kurier menyiarkan muka depan berwarna hitam sepenuhnya.

Ucapan takziah turut mengalir dari para pemimpin seluruh Eropah, termasuk Paus Leo XIV yang menyampaikan “doa untuk mangsa tragedi” semasa audiensi umum pada Rabu.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan