GEORGE TOWN, 12 Jun: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan berkaitan pengambilan pekerja warga asing dan membenarkan warga asing tinggal di sebuah premis tanpa dokumen sah pada bulan lalu.
Tertuduh, Tan Kah Harn, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengambil enam pekerja warga Myanmar yang berusia antara 22 hingga 43 tahun tanpa pas yang sah di sebuah premis di West Jelutong, kira-kira pukul 1.30 petang pada 29 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi enam tahun serta maksimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan seorang warga Myanmar tanpa pas sah tinggal di premis sama pada waktu dan tarikh yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 55E(2) akta sama yang membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad, manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Kes akan disebut semula 15 Julai depan. – TVS