KUCHING, 12 Jun: Semua agensi terlibat dalam pelaksanaan projek di bawah Jawatankuasa Sektor Pelancongan dan Persekitaran, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), diminta memastikan projek yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual.
Pengerusinya, Dato Mohd Chee Kadir, berkata langkah itu penting bagi memastikan manfaat projek sampai kepada rakyat dengan segera.
“Sebanyak 11 projek dirancang di bawah sektor ini secara keseluruhan, termasuk tiga projek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong yang kini dalam peringkat perancangan (DPR) dengan anggaran kos keseluruhan RM27.4 juta,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sektor Pelancongan dan Persekitaran BDDA di sini, hari ini.
Antara projek utama yang dirancang di Kabong ialah naik taraf fasiliti Pantai Tanjung Kembang (RM10 juta), cadangan pembinaan medan selera dan inap desa di Pantai Tanjung Kembang (RM15.9 juta), naik taraf prasarana tebingan Sungai Seblak (RM1.5 juta).
Mesyuarat turut dihadiri Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri; ADUN Beting Maro, Razaili Gapor; serta wakil pelbagai agensi kerajaan dan swasta berkaitan.