MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2025/2027 yang dijadual berlangsung Sabtu ini menyaksikan 12 calon bertanding bagi merebut enam jawatan penting dalam badan induk berkenaan.
Bagi jawatan presiden, menyaksikan pertembungan antara Dato Fazzrudin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Kuching City FC dengan Dr Mohd. Shafiq Abdullah yang merupakan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) 2007/2009.
Kedua-duanya disahkan bertanding selepas penyandangnya, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman tidak mempertahankan jawatan dipegang untuk tempoh sepenggal (2023/2024) itu.
Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden juga menyaksikan dua calon akan beradu nasib iaitu penyandangnya, Abang Suhordie Abang Zaini, Datuk Hamzah Ibrahim.
Dalam pada itu, bagi jawatan Naib Presiden pula menyaksikan lapan calon mengesahkan diri bertanding merebut empat slot khas dalam kepimpinan FAS bagi penggal akan datang.
Tiga daripadanya penyandang sedia ada iaitu Nicol Agoi, Khairulddin Qalam Daud dan Khairul Anuar Adeni.
Selain itu, lima lagi calon lainnya ialah Phillip Jabu, Sophie Shariee, Mohd. Saif Jubaidi, MD Haical Abdullah dan Dr Kamurudin Ahmed Junaidi.
Perebutan bagi kesemua enam jawatan penting dalam FAS pada mesyuarat hujung minggu ini bakal mencuri tumpuan pemerhati serta penggiat sukan bola sepak di seluruh Sarawak.
Ini kerana mengambil kira kredibiliti kesemua calon yang masing-masing mempunyai ‘track record’ tersendiri dalam sukan bola sepak di pelbagai peringkat.
Yang pasti, segalanya terpulang kepada keputusan yang bakal dibuat kesemua perwakilan terdiri daripada ahli gabungan FAS di seluruh bahagian kelak.
Kuasa mutlak undi di tangan mereka. Siapa individu yang akan dipilih untuk mewarnai tampuk kepimpinan FAS 2025/2027, sama-sama kita nantikan keputusannya kelak.