Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Denis Ngau pada majlis pelancaran buku 'Lung Lebui': A Kayan Folklore Collection di Miri, hari ini. Foto TVS

Warisan Kayan diangkat menerusi pelancaran buku cerita ‘Lung Lebui’

ByVanessa Enjop

MIRI, 11 Jun: Pelancaran buku ‘Lung Lebui: A Kayan Folktale Collection’ di FORUM Cultural Centre hari ini disifatkan sebagai satu detik bersejarah dalam usaha pemuliharaan bahasa dan budaya etnik Kayan yang kian terpinggir.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dato Denis Ngau yang merasmikan majlis menyifatkan penerbitan buku tersebut sebagai satu simbol kebanggaan masyarakat Kayan dan langkah penting bagi memelihara cerita rakyat yang hampir dilupakan.

“Lung Lebui adalah salah satu cerita yang hampir lenyap. Terima kasih kepada Curtin University dan semua pihak yang terlibat kerana menjayakan buku ini,” katanya pada majlis pelancaran buku tersebut di sini, hari ini.

Menurutnya, cerita Lebui membawa makna peribadi yang mendalam kerana ia adalah kisah yang sering diceritakan oleh ayahnya semasa zaman kanak-kanaknya di rumah ladang keluarga di tengah rimba Borneo.

“Cerita ini disampaikan secara dramatik hingga kita boleh bayangkan ada hantu besar berdiri di luar rumah. Lebui ialah entiti gergasi dalam cerita rakyat Kayan yang disampaikan turun-temurun tanpa dokumentasi rasmi,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa versi Lebui yang dihimpunkan dalam buku ini akan menjadi rujukan rasmi dan mendorong lebih ramai generasi muda Kayan menulis serta menjalankan penyelidikan mengenai warisan mereka.

“Saya berharap pelancaran buku ini akan menggalakkan lebih ramai orang Kayan menulis tentang komuniti mereka sendiri,” tambahnya.

Buku ini merupakan hasil usaha kerjasama antara Curtin University Malaysia dan Kyushu University, diketuai oleh Dr Roselind Wan dan Dr Yasuka Fukaya, serta dilengkapi ilustrasi unik oleh Yuhki Takeuchi dan penceritaan oleh Usun Anyi, seorang tokoh pencerita Kayan.

Lebih membanggakan, buku ini juga dibangunkan di bawah ILCAA Core Project yang memfokuskan kepada dinamik bahasa di Asia dan Afrika, sekali gus mengangkat cerita rakyat Kayan ke peringkat global.

Projek ini turut disokong dengan aktiviti jangkauan masyarakat, termasuk bengkel cerita rakyat di Sekolah Kebangsaan Long Panai tahun lalu yang menjadi platform pemindahan ilmu secara langsung kepada generasi muda.

Pelancaran buku ini menandakan permulaan kepada lebih banyak inisiatif dokumentasi budaya etnik minoriti di Sarawak, sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan warisan tempatan sebagai khazanah yang dikenali dan dihargai di seluruh dunia.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan